PEMAHAMAN

Latihan Pemahaman Cerpen SPM

Latihan Pemahaman Cerpen 1:

Buchanan memejamkan matanya. Ada perasaan sedih yang mengelus-elus jiwanya. Hampa. Anak-anak kandungnya jauh. Terlalu jauh daripadanya. Lima orang anaknya itu mempercapak usaha gigihnya di kebun itu.
“Ayah sibuk dengan epal-epal ni juga. Sedarlah ayah dah tua. Mengapa ayah masih mempertahankan kebun ini? Mengapa ayah masih degil?”
Buchanan menahan pedih. Hatinya berketai-ketai kini. Hancur remuk. Bagaikan kaca terhempas ke batu lalu berderai kecil.
“Kalian tidak sedar bahawa epel-epal ini sangat bererti. Kebun ini pusaka. Nostalgia. Nenek moyang kalianlah yang mempertahankan epal golden grimes suatu ketika dahulu. Kalau tidak kerana usaha mereka itu kalian tidak akan dapat mengecapi keenakan gravenstein, maiden blish, balwin, ribston atau red astrakhan.” Buchanan menjerkah anak-anaknya. Kecewa menjalar laju dalam urat-urat di tubuhnya.
“Lagipun mendiang ibu kalian sangat menyayangi kebun ini.”
Lamunan Buchanan mati andar. Matanya kembali menangkap Mazlina. Gadis itu sedang membelek-belek buah epal di dalam bakul. Sopan gerak-gerinya. Salah seorang daripada cucunya sebaya dengan Mazlina. Namun perbezaan mereka melangit. Cucunya tidak pernah menunjukkan minat pada kebun epal ini, berbanding dengan Mazlina yang sentiasa mengambil berat keperluan cahaya setiap pokok epal. Dia sentiasa menjaga pohon-pohon di kebun ini supaya tidak dijangkiti kuman. Dia sering gusar pada serangan serangga. Ah, betapa jauhnya sifat mereka!

(Petikan cerpen : Kerana Manisnya Epal)

Jawab soalan-soalan di bawah dengan menggunakan ayat anda sendiri.
1. Mengapakah Buchanan berasa sedih? (2 markah)

2. Mengapakah Buchanan masih mengambil berat kebun epal itu meskipun usianya sudah tua? (3 markah)

3. Jika anda anak Buchanan, adakah anda akan memelihara dan memajukan kebun epal itu? Beri alasan anda. (3 markah)

4. Apakah maksud gaya bahasa personafikasi? Beri satu contoh ayat yang menunjukkan gaya bahasa personafikasi dalam petikan di atas. (2 markah)

5. Nyatakan 2 nilai yang terdapat dalam petikan di atas dan 2 nilai lain dalam cerpen tersebut. (4 markah)

(Jawapan)
___________________________________________________________________
Latihan Pemahaman Cerpen 2:

Murni mendapatkan suaminya yang sudah di dalam bilik.
“Orang rajin! Tapi sayang rajin tak bertempat,’ sindirnya. Murni merenung suaminya dengan amat kesal. Sakit telinganya mendengar sindiran yang sejuring itu. Tetapi dia tidak menyerang balas. Suami yang panas baran tidak harus dilayan bertengkar. Nanti buruk padahnya.
Waktu makan tengah hari itu masing-masing menyuap. Tidak ada tanya itu ini dari Jemah. Begitu juga Murni dan Jamal. Kesan-kesan marah masih nyata di muka Jamal. Puas juga dia memaniskan muka. Tapi tak Berjaya. Jemah masih berfikir, “Rumput dibeli dan ditanam?”. Soalan bertalu-talu di kepala. Aneh, sungguh aneh. Di kampung tidak begitu. Rumput tidak dibagi hidup di tanah aku. Ubi keladi yang mesti hidup, dia berfikir sendiri. Murni cuba juga bergurau kecil dan jenaka sedikit untuk memulihkan suasana kaku itu. Tapi tidak Berjaya. Sudahnya dia menyumpah dalam hati.
Setelah makan tengah hari itu mereka berdua ke pejabat lagi. Di muka pintu Murni berpesan kepada ibunya.
“Mak jangan buat apa-apa. Rehat-rehat saja. Nanti petang Murni bawak mak makan angin,” pesannya bersungguh-sungguh.

(Petikan cerpen : Budi Yang Tak Terbeli)

Jawab soalan-soalan di bawah dengan menggunakan ayat anda sendiri.
1. Apakah yang dimaksudkan dengan frasa “rajin tak bertempat”? ( 2 markah )

2. Pada pendapat anda, apakah masalah yang dihadapi oleh Jemah semasa tinggal bersama-sama Murni dan Jamal di kota? ( 3 markah )

3. Bagaimanakah keadaan di rumah Jamal ketika makan tengah hari itu sedang berlangsung? (3 markah)

4. Sekiranya anda Murni, apakah perkara yang dapat anda lakukan untuk menggembirakan hati ibu anda yang tinggal bersama anda di kota? (3 markah)

5. Huraikah 2 perwatakan Murni dalam petikan di atas dan 2 perwatakan Murni yang lain dalam cerpen tersebut.

(Jawapan)

No comments:

Post a Comment