Karangan Pendapat : Isu dadah
Apabila anda merdengar ungkapan
“Enam Jahanam”, apakah yang mungkin anda fikirkan ? Adakah itu judul sebuah
filem klasik P. Ramlee atau nama kumpulan penjenayah yang diburu oleh pihak
polis ? Rupa-rupanya, ungkapan itu merujuk kepada enam
jenis dadah yang harus diberi perhatian serius kerana penyalahgunaannya yang
meluas – heroin, kokain, ecstasy, kanabis, syabu dan morfin. Sewaktu
melancarkan “Karnival Enam Jahanam”, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad
Badawi menyatakan bahawa isu dadah di negara kita berada pada tahap yang
berbahaya. Oleh itu, kerajaan mengisytiharkan dadah harus diperangi hingga ke
akar umbi kerana dadah merupakan musuh nombor satu negara.Apakah
sebenarnya dadah ? Dadah yang fungsi asalnya ialah bahan perubatan merupakan
bahan kimia psikoaktif yang mempunyai kesan ke atas sistem saraf pusat seperti
menyebabkan keadaan khayal, ketagihan dan gangguan tingkahlaku.
Penyalahgunaanya yang berterusan mendatangkan kerosakan kepada diri, keluarga,
masyarakat dan negara.
Pada akhir tahun 1960-an, negara
kita mulai mengalami masalah dadah Golongan remaja dipengaruhi oleh kebudayaan
‘hippie’ dan askar-askar Amerika yang melancong ke Pulau Pinang. Sebagai kesan
daripada kedua pengaruh tersebut, penagihan dadah telah merebak ke seluruh
negara. Golongan muda yang terlibat dalam penagihan dadah merupakan pemuda-
pemudi harapan bangsa dan negara dan terjerumusnya mereka dalam alam khayalan
ini mengakibatkan mereka bukan sahaja tidak berguna kepada masyarakat bahkan
diri mereka sendiri. Memandangkan hakikat inilah, kerajaan telah mengambil
sikap tegas terhadap pengedaran dadah, dan mengambil langkah-langkah yang perlu
untuk melindungi rakyat termasuklah undang-undang yang amat ketat. Tetapi,
pengedaran dadah nampaknya tidak boleh diselesaikan
dengan hanya peruntukan undang-undang seperti Akta Dadah Berbahaya
(Langkah-langkah Pencegahan Khas 1985) walaupun mereka yang sabit kesalahan
boleh dijatuhi hukuman mati mandatori. Oleh itu, kerajaan telah
melancarkan kempen antidadah di seluruh negara secara meluas. Namun demikian,
tanggungjawab untuk memerangi dadah seharusnya kita pikul bersama.
Tindakan pencegahan dadah yang
berkesan memerlukan penglibatan semua golongan masyarakat. Pada zaman moden
ini, golngan muda lebih bebas, terdedah kepada pengaruh asing dan mereka lebih
mengutamakan pandangan rakan sebaya. Dengan ini, mereka mudah terlibat dengan
kegiatan yang tidak sihat. Untuk disanjung oleh kawan, mereka menunjukkan
keberanian dengan menghisap rokok dan dadah. Sekali mereka bermula, maka amat
sukar bagi mereka memberhentikan amalan buruk ini. Masyarakat harus dididik
sejak kecil lagi bahawa dadah itu najis, benda yang kotor dan tidak boleh
disentuh. Sekiranya kita berjaya menyemai nilai ini dalam hati sanubari mereka,
sebahagian daripada kejayaan pencegahan dadah akan tercapai. Kita harus sedar
bahawa tindakan kita ke arah matlamat mencegah penyalahgunaan dadah ini adalah
untuk menyelamatkan bukan sahaja keluarga kita sendiri bahkan generasi muda
untuk mewujudkan satu bangsa yang bermaruah dan dihormati.
Sebahagian besar penagih-penagih
dadah di negara kita terdiri daripada golongan remaja antara 15-29 tahun.
Antara sebab-sebab utama mereka ini menjadi penagih ialah kerana keseronokan,
sikap ingin tahu, pengaruh persekitaran terutamanya pengaruh rakan sebaya,
tekanan emosi disebabkan oleh sama ada kegagalan, tidak mendapat kasih sayang
ibu bapa atau kerana kemewahan. Hal ini menunjukkan,
sekolah boleh memainkan peranan penting dalam membasmi bencana dadah. Pada tahun
2005 ini, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) telah melancarkan program
pencegahan penagihan dadah besar-besaran tahun ini dengan sasaran utama
terhadap golongan belia terutama pelajar sekolah. Program pencegahan merupakan
usaha terbaik bagi mengelak pertambahan jumlah penagih baru di negara ini.
Menurut laporan agensi itu, sehingga Oktober tahun 2004, daripada sejumlah
30,659 penagih dadah, sebanyak 15,292 orang adalah penagih baru manakala
sebanyak 15,667 adalah penagih berulang. Data ini jelas menunjukkan kita perlu
bersungguh-sungguh dengan program pencegahan kerana program pemulihan dan
rawatan sukar menghalang penagih-penagih ini mengulangi kegiatan mereka.
Kajian oleh Kementerian Kesihatan
menunjukkan kegiatan penagihan dadah lazimnya bermula dengan tabiat menghisap
rokok. Ini kerana tabiat ketagihan dihasilkan oleh unsur nikotin dalam rokok.
Apabila merasakan rokok tidak memberi kepuasan, mereka beralih kepada ganja dan
sekiranya ganja juga tidak memberi keseronokan, mereka akan beralih kepada heroin
dan morfin. Jelasnya, pencegahan tabiat merokok juga penting dalam memerangi
najis dadah kerana implikasinya terhadap dorongan untuk mendapatkan dadah.
Masyarakat harus sama-sama menyedari
akan kesan pengambilan dadah. Dengan berfikiran rasional, mereka tentu tidak
sanggup menerima risikonya yang menakutkan. Antara kesan-kesannya ialah
mendapat penyakit meningitis, penyakit jangkitan jantung, AIDS, Hepatitis B, C,
dan D, kerosakan buah pinggang, otot-otot badan mengecut dan berkemungkinan
lumpuh. Kesan fizikal pula ialah apabila sekiranya bekalan dadah tidak
diperoleh mereka akan berasa keluh-kesah, gian, dan amat menderita. Jelasnya
mereka akan berperang dengan kematian kerana terdedah dengan penyakit
terutamanya penyakit AIDS yang amat digeruni.
Kesimpulannya, kita harus bertekad
dengan keazaman yang tinggi untuk memerangi dadah. Najis dadah akan kita
kuburkan dan wujudlah suasana dadah sifar. Marilah kita sama-sama menghapuskan
najis dadah yang “menjahanamkan” masyarakat daripada terus hadir di Malaysia.
Kita tiada pilihan melainkan hanya satu slogan di hati dan di minda pada setiap
masa iaitu “Perangi Dadah Habis-Habisan”.
No comments:
Post a Comment