Masalah
Pengangkutan Awam Di Negara Kita
Pengangkutan awam
merupakan salah satu pengangkutan yang amat penting di negara kita. Namun
begitu, masih banyak kelemahan yang kerap menjadi sungutan orang ramai.
Terangkan kemelut yang melanda sistem pengangkutan awam di negara ini.
.
.
..........Dalam sistem perhubungan, pengangkutan awam menjadi pilihan orang ramai untuk bergerak dari satu destinasi ke satu destinasi yang lain. Sistem pengangkutan ini turut menjadi pilihan golongan marhaen khususnya bagi mereka daripada golongan masyarakat pertengahan dan yang kurang berkemampuan. Rangkaian pengangkutan awam di negara kita adalah seperti pengangkutan bas awam, teksi, Sistem Transit Tren Ringan (LRT), monorel dan sebagainya. Memang sudah banyak usaha yang dilakukan untuk menyatukan semua perkhidmatan ini tetapi kejayaannya masih jauh lagi. Oleh itu, pelbagai kemelut yang melanda sistem pengangkutan awam negara kita harus difahami untuk menangani masalah yang sudah berlanjutan sekian lama.
..........Dalam sistem perhubungan, pengangkutan awam menjadi pilihan orang ramai untuk bergerak dari satu destinasi ke satu destinasi yang lain. Sistem pengangkutan ini turut menjadi pilihan golongan marhaen khususnya bagi mereka daripada golongan masyarakat pertengahan dan yang kurang berkemampuan. Rangkaian pengangkutan awam di negara kita adalah seperti pengangkutan bas awam, teksi, Sistem Transit Tren Ringan (LRT), monorel dan sebagainya. Memang sudah banyak usaha yang dilakukan untuk menyatukan semua perkhidmatan ini tetapi kejayaannya masih jauh lagi. Oleh itu, pelbagai kemelut yang melanda sistem pengangkutan awam negara kita harus difahami untuk menangani masalah yang sudah berlanjutan sekian lama.
.
..........Sudah pasti dilema utama yang
dihadapi oleh masyarakat terhadap sistem pengangkutan awam kita ialah kos atau
tambangnya yang agak mahal. Kadar tambang terutamanya bagi penumpang teksi dan
LRT adalah dianggap mahal terutamanya bagi mereka yang berpendapatan rendah
serta menghalang mereka daripada menggunakan sistem pengangkutan itu dengan
lebih kerap. Kadaan ini menyebabkan jumlah pengguna pengangkutan awam terutama
LRT agak kurang dan tidak menyeluruh. Kebanyakan daripada mereka hanya
menggunakan pengangkutan awam hanya apabila terdesak atau hanya untuk ke
pejabat sahaja. Jadi, kemelut utama ini harus diselesaikan oleh kerajaan jika
mereka mahu melihat rakyat negara ini berduyun-duyun menggunakan pengangkutan
awam tersebut.
.
.
...........Selain itu, kemelut pengangkutan
awam ini turut dikaitkan dengan amalan pengurusannya yang tidak cekap.
Masyarakat menganggap sistem pengangkutan awam terutamanya bas awam tidak boleh
diharap dari segi ketepatan waktu operasinya. Kelewatan bas kerap berlaku dan
tidak mengikut jadual perjalanan yang ditetapkan. Hal ini menyebabkan
masyarakat sukar untuk merancang dan menjangka tempoh perjalanan yang bakal
mereka hadapi. Masalah kelewatan sampai ke tempat kerja menjadi isu utama
akibat kegagalan pihak pengurusan mengatasi masalah tersebut. Masalah penjagaan
bas awam, LRT dan teksi turut dikatakan termasuk dalam kategori yang
mengecewakan kerana penyelenggaraannya yang tidak menyeluruh. Oleh itu,
masyarakat bukan sahaja kecewa melihat kegagalan pengangkutan awam mematuhi
jadual perjalanan malah pada masa yang sama kegagalan untuk menjaga kualiti
perkhidmatan pengangkutan awam turut dirasai.
.
.
..........Kita juga sering terdengar rungutan
orang awam yang mengatakan bahawa tumpuan perkhidmatan awam di negara kita
tidak menyeluruh. Kemudahan stesen LRT umpamanya hanya terletak di kawasan
tertentu yang kadang-kala menyukarkan orang ramai tiba ke pejabat. Hal ini
bertambah rumit kerana masalah kekurangan pengangkutan tambahan atau “fider
bus” di kawasan itu. Kalau anda sering menggunakan pengangkutan awam sudah
pasti anda akan menghadapi masalah untuk menukar sistem pengangkutan, contohnya
di antara stesen monorel dengan stesen LRT atau di antara stesen bas dengan
tesen monorel. Hal ini menyebabkan penjalanan penumpang terganggu kerana terpaksa
beratur untuk membeli tiket sebelum menaiki pengangkutan awam yang lain pula.
Dalam era globalisasi yang mengutamakan kepantasan, sudah pasti keadaan ini
dianggap merumitkan kehidupan masyarakat. Maka, satu sistem tiket yang
bersepadu harus diadakan oleh kerajaan sebelum kemelut ini menjadi semakin
rumit untuk diselesaikan.
..
..
..........Malah, pengangkutan awam turut turut
terjejas akibat tindakan segelintir pekerja mereka seperti pemandu teksi dan
pemandu bas yang tidak sopan ketika memandu. Sering kali masyarakat mengadu
kerakusan pemandu pengangkutan awam di jalan raya yang dibuktikan oleh
meningkatkan kemalangan yang melibatkan pengangkutan awam ini. Sikap tidak
prihatin mereka ini telah memberi satu imej negatif kepada semua pekerja yang
bekerja dalam sistem pengangkutan awam negara kerana seekor kerbau membawa
lumpur, semuanya terpalit. Ada di antara mereka yang masih mengamalkan sikap
ingin menjadi sang juara di jalan raya. Hal ini bukan sahaja membahayakan
penumpang kenderaan tersebut malah pada masa yang sama turut membahayakan
keselamatan pengguna jalan raya yang lain. Justeru, semua pekerja pengangkutan
awam harus diberi satu kursus untuk memastikan mereka lebih mesra pelanggan dan
bukannya dibenci oleh pelanggan serta masyarakat awam yang lain.
.
.
..........Banyak juga aduan yang sering kita
baca di dada-dada akhbar mengenai rungutan orang awam tentang kekurangan tempat
letak kereta di stesen LRT dan komuter. Hal ini berlaku kerana kurangnya
perancangan yang teliti sebelum projek tersebut dilaksanakan. Kelemahan ini
bukan sahaja menyukarkan orang ramai meletakkan kenderaan mereka malah
menghalang orang ramai untuk menaiki kemudahan awam tersebut. Di beberapa buah
stesen komuter dan LRT di ibu kota Kuala Lumpur umpamanya, kekurangan tempat
untuk meletakkan kenderaan menyebabkan orang ramai meletakkan kenderaan mereka
sesuka hati atau di tepi-tepi jalan. Hal ini bukan sahaja menyebabkan
berlakunya kesesakan malah kadang-kala boleh menyebabkan berlakunya kemalangan.
Lebih malang pula, ada sebahagian kenderaan tersebut turut di saman oleh pihak
polis biarpun masalah ini timbul akibat kelemahan pengurusan terbabit.
Jelasnya, rungutan pengguna pengangkutan awam tersebut perlu ditangani dengan
baik agar pengangkutan awam di negara kita tidak menjadi “indah khabar dari
rupa”.
.
.
..........Kesimpulannya, masalah pengangkutan
awam di negara kita amat perlu diambil berat oleh pihak yang terbabit.
Sekiranya perkara tersebut masih terus didiamkan tanpa sebarang tindakan, kita
bimbang hasrat kerajaan untuk menjadikan pengangkutan awam sebagai salah satu
pengangkutan utama di negara kita akan terkubur. Kesungguhan pihak kerajaan
untuk mengambil langkah awal dalam menangani masalah ini amat ditagih dan pihak
berwajib tidak harus bertindak hanya apabila isu itu menjadi tatapan masyarakat
dalam media massa negara. Mungkin sudah sampai masanya kerajaan bertindak tegas
dalam kemelut ini dan bukan bersikap “sudah terhantuk baru terngadah”.
.
No comments:
Post a Comment